Pertandingan mereka cipta dan inovasi menyerlahkan daya fikir pelajar sekolah. - Gambar hiasan
ADA yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan
inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai
mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.
Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh
diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang dilakukan secara terancang.
Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh
diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada
murid atau student centre.
Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan
pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan
murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir
muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu
pengajaran yang menarik minat murid.
Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan,
bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah
sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir,
berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan
tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang
melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid.
Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang
yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan
yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita
lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan
terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan
mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.
Di samping itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian
Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada
kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.
Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti
ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea
baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang
diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang
baru.
Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek
yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia
kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum
walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.
Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat
perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat
hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah
perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.
Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam
pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki
kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid
agar menjadi lebih dinamik.
Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap
teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan
membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir
aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi
dengan baik.
Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam
merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya.
Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif
agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan
pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi
serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.
Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah
bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada
di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang
menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana
tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan
dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.
Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa
ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan
berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid
merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran.
Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah
memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih
demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang
harmoni.
Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang
berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat
latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan
mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa
perubahan kepada sekolah.
Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi
memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan
dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu
bapa.
Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan
inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid,
mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi
ke arah yang lebih baik.
Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan
profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan
nanti.
Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan
teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya
teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan
sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan
organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih
berdaya saing dan menjadi lebih produktif.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru Malaysia pada 3 November
lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan bilik darjah yang
sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang.
''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi
murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam
abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan
keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin
mencabar.
No comments:
Post a Comment